MENU

 

Chalet Terapung PPK Merbok

Pasar Bisik Kuala Muda

Chalet Terapung PPK Merbok yang terletak di Kuala Segantang Garam, Merbok. Chalet Terapung ini dibina diatas tong-tong plastik yang kukuh dan selamat serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Chalet terapung ini juga menyediakan sebuah bot yang boleh memuatkan seramai 12 orang untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Merbok sambil menikmati pemandangan yang indah. Chalet Terapung PPK Merbok memang sangat sesuai bagi kaki pancing, anda boleh memancing tanpa dikenakan bayaran sekiranya anda menyewa di salah sebuah chalet atau dikenakan sekali bayaran RM15 seorang tanpa had masa bagi yang datang hanya untuk memancing sahaja.

 

 

Pasar Bisik Kuala Muda terletak di Kampung Tepi Sungai, Kuala Muda dan mengambil masa kira-kira 40 minit dari Pusat Bandar Sungai Petani. Ianya merupakan salah satu kaedah penjualan hasil laut yang unik dan terkenal di Kota Kuala Muda. Amalan penjualan secara berbisik ini hanya dapat dilihat di beberapa tempat di dunia. Anda pasti kagum melihat dan mendengar tiada jeritan hanya bisikan pembeli-pembeli bersama nelayan sahaja dan penawaran tertinggi akan memperolehi hasil laut yang ditawarnya. Pasar ini dibuka setiap hari di mana waktu nelayan pulang dari laut ketika waktu pagi sehingga tengah hari. Hasil laut yang di jual dengan harga yang murah dan kesegarannya terjamin.

 

 

Kampung Pulau Sayak

Tugu Peringatan Tsunami

Kampung Pulau Sayak terletak lebih kurang 30 km dari Sungai Petani. Pulau Sayak yang terletak hanya beberapa ratus meter dari Kampung Pulau Sayak dapat dilihat dengan jelas keindahan pulau itu masih terpelihara. Kampung Pulau Sayak terkenal dengan masakan mee udangnya, ramai pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keenakkan mee udang Pulau Sayak. Kampung Pulau Sayak yang terletak tidak jauh dari Kota Kuala Muda dan Pantai Merdeka menjadi salah satu tempat tarikan pengunjung untuk singgah menikmati panorama indahnya.

 

Tugu Peringatan Tsunami dibina sebagai memperingati tragedi Tsunami yang melanda Kuala Muda Kedah pada 26 Disember 2004. Tugu ini dibina menggunakan 26 perahu nelayan yang rosak akibat tragedi tersebut, yang mengambarkan tarikh 26 Disember dan ianya dibina sedemikan rupa kerana semasa tragedi bot-bot nelayan bertindih antara satu sama lain. Di sebelah tugu peringatan ini, terdapat kawasan berpagar yang menempatkan rumah-rumah penduduk yang musnah disebabkan ombak besar semasa tsunami melanda kampung ini. Kebanyakkan rumah penduduk di persisir pantai iaitu Kampung Sungai Muda dan Kampung Sungai Tepi musnah. Rumah-rumah yang kosong itu dijadikan memorial tsunami kepada pengunjung yang melawat kawasan ini.