MENU

 

Jam Besar & Dataran Zero Kilometer

Jeti Semeling, Sungai Merbok

Di pusat bandar Sungai Petani terdapat sebuah bangunan bersejarah iaitu Jam Besar yang dibina pada tahun 1936 untuk memperingati Jubli Perak King George V dan Queen Mary. MPSPK telah menaik taraf Dataran Zero Kilometer yang berdekatan menara jam ini untuk kunjungan orang ramai.

 

 

 

Jeti Semeling yang terletak bersebelahan dengan Jambatan Semeling menyediakan pelbagai kemudahan dan keindahan Sungai Merbok. Sungai Merbok ialah sungai yang mengalir ke Selat Melaka dan mempunyai hutan paya bakau. Pelancong boleh melawat Galeri Hutan Paya Bakau dan menikmati kemudahan bot pelancong atau perkhidmatan teksi air yang disediakan untuk menyusuri sungai ini. Anda juga boleh berehat dan menjamu selera di restoran makanan laut yang disediakan.

 

 

Pantai Merdeka

Tanjung Dawai

Pusat peranginan ini terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari pusat bandar. Perjalanan menaiki kenderaan sendiri ke pantai ini mesti melalui Jalan Persekutuan Laluan Butterworth. Pelancong perlu melalui pekan Tikam Batu dan seterusnya pekan Kota Kuala Muda sebelum tiba di Pantai Merdeka. Terdapat pelbagai kemudahan yang boleh didapati di sini seperti perhentian bas, chalet, tandas awam, medan selera dan gerai-gerai jualan. Pantai Merdeka juga menawarkan kemudahan percutian untuk seisi keluarga. Pelancong boleh bermandi-manda, melakukan aktiviti perkhemahan dan berkayak di pantai ini. Terdapat perkhidmatan bot untuk pelancong pergi ke Tanjung Dawai.

 

Tanjung Dawai sebuah pekan kecil di barat Sungai Petani. Pekan ini merupakan sebuah perkampungan nelayan. Hasil laut diproses di sini untuk dijadikan sumber makanan. Pelancong boleh mendapatkan ikan kering, ikan bilis, ikan masin, pekasam dan pelbagai lagi hasil makanan laut dengan harga yang berpatutan. Jeti Tanjung Dawai yang sentiasa dikunjungi terutamanya pada musim cuti memberi kemudahan pengangkutan ke Pantai Merdeka yang merupakan destinasi riadah yang popular di Negeri Kedah.